Monday 3 August 2015

Tip Kekal Istiqamah Selepas Ramadhan

Tip kekal istiqamah selepas Ramadhan | 

Surau dan masjid kembali berkurang orang selepas Ramadhan berlalu pergi. Kembalilah masjid dan surau dihuni oleh jumlah yang sama sebelum Ramadhan.

Namun ada sesetengah surau, kehadiran jemaah semakin meningkat.
Indikatornya adalah pada waktu Subuh. 

Ramai yang mula rasa rindu dengan amalan semasa Ramadhan, tapi rasa sukar untuk mulakan semula. Barangkali kerana banyak makan kuih raya, lemang dan rendang agaknya di samping 'juadah' hiburan yang disogokkan.

Saya kongsikan tip supaya kekal istiqamah selepas Ramadhan.

Nota : Saya pun sedang berusaha. Kita usaha sama-sama.

1) Puasa sunat 6 hari bulan Syawal. Penting puasa ini kerana ia akan membantu membentuk momentum puasa sunat lain pada bulan lain. Ada 2 minggu lagi, jangan sampai terlepas pula.

2) Jangan tinggalkan membaca al-Quran lebih daripada sehari. Paling kurang baca 1 muka atau setengah muka sehari. Biar sedikit tapi berterusan.

3) Jangan tinggalkan surau atau masjid lebih daripada 3 hari. Surau dan masjid sebagai pusat pembaharu iman dan hidayah. Usahakan untuk solat jemaah di masjid sekurang-kurangnya waktu Subuh dan Isya'.

4) Selawat dan zikir harian, pastikan ada wirid harian.

5) Sokat Dhuha setiap pagi. Niatkan juga solat dhuha sebagai pengganti qiamullail jika tidak sempat qiam pada malamnya.

6) Sedekah setiap Subuh.
Insya Allah, momentum yang ada akan ditambah baik. Kita doa sama-sama. Selamat berpuasa Syawal di separuh masa kedua bulan ini.

Menjadi Guru yang Dikasihi Pelajar dengan Teknik Nabi

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebetulnya, saya tidak tahu bagaimana mahu memulakan catatan ini. Barangkali lebih mudah jika saya ceritakan bahawa saya tidak pernah  terniat langsung akan menjadi guru di sekolah. Kerjaya sebagai guru, apatah lagi guru sekolah rendah, merupakan kerjaya yang paling saya mahu elak.

Namun, selepas terlibat dengan kajian Teknik Nabi Muhammad, dalam bidang hadith psikologi, maka saya 'terpaksa' terjun dalam dunia pendidikan. Sementelah pula, saya memiliki isteri yang bergiat aktif dalam menulis testimonial dan membuat eksperimen dalam Teknik Nabi Muhammad, maka sedikit sebanyak saya terkena tempiasnya.

MULA MENJADI GURU

Saya melangkahkan kaki ke sekolah sebagai guru bermula pada 15 Julai 2013. Waktu itu, saya agak kesempitan wang, dan memerlukan kerja. Hampir setahun saya 'bertanam anggur' tanpa penghasilan yang baik. Dua hari sebelum itu, isteri saya menelefon pihak sekolah tempat beliau mengajar dahulu. Kata guru besar, ada kerja kosong.

Tiba-tiba pada hari Isnin, saya disuruh melaporkan diri sebagai guru ganti berikutan ada guru yang bertukar sekolah. Seminggu Ramadhan, dan saya sudah menjadi guru. Alhamdulillah.

GURU, USTAZ, CIKGU DAN...

Pengetahuan saya sebagai guru, hampir NIL. Tiada langsung. Saya tidak pernah memohon jawatan guru sementara dalam percutian belajar, sebagaimana ramai rakan saya dari Timur Tengah lakukan sewaktu bercuti. Saya tidak pernah cuba-cuba mengajar pelajar sekolah menengah. Tanya sahaja pelajar KISAS batch saya, menyampaikan tazkirah pun saya penakut!

Sebagai trainer juga, saya paksakan diri memberikan perkongsian. Mujur, pengalaman yang sedikit itu sebagai pengajar andragogi, dapat saya aplikasikan sebahagiannya dalam kelas di sekolah rendah, sebagai pengajar pedagogi. Sebenarnya, pedagogi dan andragogi sangat berbeza.

Pedagogi lebih kepada pengajaran untuk kanak-kanak, manakala andragogi lebih kepada pengajaran untuk orang dewasa. Perbezaan ini membantu saya menilai cara saya mengajar, dan menyesuaikannya dengan situasi di sekolah pula.

Apapun, tidak pernah saya impikan akan menjadi guru sekolah rendah!


KESAN APLIKASI TEKNIK NABI

Menggunakan teknik Nabi Muhammad dalam PdP membantu sedikit sebanyak untuk saya menghadapi pelajar saya. Teknik yang saya kerap gunakan adalah teknik pejam mata pada kesalahan puji kebaikan, teknik ganjaran sosial melalui mimik muka, teknik ganjaran sosial melalui sentuhan, belaian dan urutan. Teknik yang paling saya suka adalah teknik pujian melalui tulisan, selain teknik memberi markah dorongan. Kadangkala saya gunakan juga teknik memberikan ganjaran material melalui hadiah atau membelanja makanan untuk anak murid pada waktu rehat.

Antara kesan yang saya dapati selepas beberapa bulan menggunakan Teknik Nabi Muhammad,

1) Pelajar menjadi rapat dengan saya dan mudah memberikan kerjasama.

2) Hampir setiap kali mahu pulang, pelajar akan melambaikan tangan kepada saya, ataupun menjerit memanggil saya seolah-olah mahu memberitahu mereka mahu pulang.

3) Pelajar bukan kelas saya dan bukan saya ajari mengenali saya dan bergaul seolah-olah sudah rapat dengan saya.

4) Pelajar yang bukan kelas saya dan bukan saya ajari tiba-tiba bersalam dan mencium tangan dan memuji kebaikan saya.

5) Sesetengah pelajar lelaki agak manja dengan saya.

6) Pelajar ringan tulang menolong dan membantu saya membuat kerja-kerja semasa hari kantin, hari sukan, hari guru dan acara lain.

7) Pelajar ringan tulang membantu membasuh pinggan secara sukarela di kantin, walaupun pekerja kantin tidak menyuruh mereka.

8) Setiap kali hampir waktu kelas saya, beberapa orang pelajar kelas saya akan menunggu saya di luar kelas sebelumnya (kelas lain), dan membantu mengangkat barangan berupa beg dan buku-buku saya ke kelas. 

Saturday 2 May 2015

Dipuji Anak Murid Sempena Hari Guru

Pagi-pagi lagi terbaca mesej ini di FB Messenger.

Belum 16 Mei lagi sudah dapat wish. Terima kasih Aqil Boboy. Ustaz doakan Aqil jadi pemain bola sepak handalan dan pada masa yang sama, seorang hafiz al-Quran. Amin.

Hari ini kami di Universiti Malaysia Terengganu berbengkel bersama guru, ibu bapa dan pensyarah UMT. Pagi yang indah dan nyaman kerana angin laut sepoi-sepoi bertiup.

#Pada waktu ini, saya sudah pun berhenti mengajar di sekolah. Saya berkhidmat di NGO Briged Bakti Malaysia.

 Mesej daripada Aqil.