Wednesday 31 October 2018

Apa yang Anda Perlu Tahu Sebelum Aplikasi Teknik Nabi

APA YANG ANDA PERLU TAHU SEBELUM APLIKASI TEKNIK NABI

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Allah masih lagi beri peluang untuk kita bernafas pada hari ini. Tentu ada yang baru sahaja menjadi guru, baru sahaja menjadi ibu bapa dan baru sahaja mengenal Teknik Nabi.

Mungkin tuan puan pernah mendengar, membaca pengalaman aplikasi Teknik Nabi atau pernah mengikuti bengkel Teknik Nabi.

Sebelum memulakan langkah pertama, pasak dalam minda beberapa perkara ini.

1. Kita mengaplikasikan Teknik Nabi kerana Allah, bukan kerana perkara lain. Buang jauh-jauh perasaan dan tujuan lain.

2. Kita mengaplikasikan Teknik Nabi kerana ia adalah sunnah Nabi. Bukan kerana ia sunnah kawan-kawan atau ikut trend. Atau kerana disuruh oleh orang atasan.

3. Kita mengaplikasikan Teknik Nabi, bukan kerana mahukan keajaiban hasil dan result. Tidak sedikit yang mula mengaplikasikan kerana terpesona dengan testimoni dan hasil yang orang lain dapat capai. Sedangkan orang lain ada sebahagiannya mempunyai unleverage advantage, iaitu kelebihan yang tidak boleh ditandingi. Unik.

4. Jadilah diri sendiri. Ubah diri untuk mengikuti sunnah Nabi dengan kelajuan kita sendiri. Tiada sesiapa yang boleh menjadi orang lain.

5. Sunnah Nabi adalah untuk semua orang, sebagai rahmatan lil alamin. Namun, umat mungkin tidak mampu ikut semua. Ikutlah sungguh-sungguh sunnah Nabi kerana pada akhir zaman, untuk berpegang kepada sunnah Nabi adalah satu kerja besar. Teknik Nabi adalah untuk semua, namun kita boleh memilih pintu mana untuk kita masuki.

6. Kajian Teknik Nabi adalah hasil kajian setahun diikuti eksperimen selama setahun dan masih dieksperimenkan dari semasa ke semasa. Pustaka testimoni yang banyak memungkinkan ia dilihat autentik dan absolute truth. Sebenarnya, ia bukanlah absolute truth,  tetapi ia kebenaran yang dibuktikan secara empirikal melalui data eksperimen. 

Seperti kajian tafsir atau kajian hadith lain, ia tidak semestinya benar.

Dalam istilah agamawan, dalil yang benar tidak bermakna istidlal juga benar.

Kami mengharapkan data dan kajian yang dilakukan adalah benar berdasarkan testimoni positif dan maklumbalas menakjubkan yang kami terima. Wallahu a'lam.

Begitulah.

Baik. Sekarang, sudah boleh mula aplikasikan!

Saturday 15 July 2017

Mula Mendorong Pelajar

16 Ramadhan 1434H

Mendorong Pelajar |

Semalam, adalah hari pertama kita mula mengajar di sekolah. Selain mahu mempraktikkan ilmu Mendorong Pelajar Corot yang dikaji oleh Tim Hadith Psikologi, kita juga mahu menjadikannya sebagai salah satu sumber pengalaman berguna yang dapat dijadikan bahan dalam pembikinan masters kita kelak.

Alhamdulillah, seawal jam 10 pagi semalam mendapat berita bahawa sekolah memerlukan guru, seawal jam 2 petang saya sudah masuk mengajar.

Rupa-rupanya, anak-anak murid 6 Omar sebahagiannya saya kenali kerana mereka pernah menjadi anak-anak didik Ustazah Siti Khadijah di kelas 5 Ali.

Teknik yang digunakan semalam adalah Teknik Angkat Tangan dan Teknik Menerangkan Peraturan. Kita masih belum betul-betul mahir kerana belum pernah gunakan di dalam kelas, sebelum ini biasa menggunakan di dalam kelompok mengaji anak-anak pangsapuri sahaja.

Mohon sahabat-sahabat mendoakan kita. Allah berkati sahabat-sahabat yang molek budi pekertinya, santun bahasanya, dan menceriakan hari dan hati kita. :)

#ustazasyraff
#ustazasyraffdan6omar

Wednesday 2 March 2016

Skrip Pujian untuk digunakan di dalam Buku Latihan ~ Untuk Cikgu-cikgu

Skrip Pujian untuk digunakan di dalam Buku Latihan (Kerja rumah Harian)

Guru boleh menulis :

"Tahniah, kerja kamu semakin kemas hari demi hari. Teruskan usaha!" [PENGHARGAAN]

"Saya suka melihat usaha kamu mewarna dengan baik. 3 bintang untuk kerja kamu." [PUJIAN USAHA]

"3 bintang!" [DORONGAN DENGAN MARKAH]

"Bagus! Kerja rumah semakin meningkat." [PUJIAN]

"Giatkan usaha. Banyakkan berbincang dengan rakan. Awak boleh buat dengan lebih baik lagi." [DORONGAN SEMANGAT]

"Cemerlang! (Y) [KATA-KATA POSITIF]

"Teknik kamu buat sudah betul. Saya kagum dengan usaha kamu." [PUJIAN USAHA]

"Bagus, beginilah cara yang betul membuat kerja. Allah pasti memberikan pahala atas kerja kamu." [PUJIAN DENGAN IMPAK]



Monday 3 August 2015

Tip Kekal Istiqamah Selepas Ramadhan

Tip kekal istiqamah selepas Ramadhan | 

Surau dan masjid kembali berkurang orang selepas Ramadhan berlalu pergi. Kembalilah masjid dan surau dihuni oleh jumlah yang sama sebelum Ramadhan.

Namun ada sesetengah surau, kehadiran jemaah semakin meningkat.
Indikatornya adalah pada waktu Subuh. 

Ramai yang mula rasa rindu dengan amalan semasa Ramadhan, tapi rasa sukar untuk mulakan semula. Barangkali kerana banyak makan kuih raya, lemang dan rendang agaknya di samping 'juadah' hiburan yang disogokkan.

Saya kongsikan tip supaya kekal istiqamah selepas Ramadhan.

Nota : Saya pun sedang berusaha. Kita usaha sama-sama.

1) Puasa sunat 6 hari bulan Syawal. Penting puasa ini kerana ia akan membantu membentuk momentum puasa sunat lain pada bulan lain. Ada 2 minggu lagi, jangan sampai terlepas pula.

2) Jangan tinggalkan membaca al-Quran lebih daripada sehari. Paling kurang baca 1 muka atau setengah muka sehari. Biar sedikit tapi berterusan.

3) Jangan tinggalkan surau atau masjid lebih daripada 3 hari. Surau dan masjid sebagai pusat pembaharu iman dan hidayah. Usahakan untuk solat jemaah di masjid sekurang-kurangnya waktu Subuh dan Isya'.

4) Selawat dan zikir harian, pastikan ada wirid harian.

5) Sokat Dhuha setiap pagi. Niatkan juga solat dhuha sebagai pengganti qiamullail jika tidak sempat qiam pada malamnya.

6) Sedekah setiap Subuh.
Insya Allah, momentum yang ada akan ditambah baik. Kita doa sama-sama. Selamat berpuasa Syawal di separuh masa kedua bulan ini.

Menjadi Guru yang Dikasihi Pelajar dengan Teknik Nabi

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebetulnya, saya tidak tahu bagaimana mahu memulakan catatan ini. Barangkali lebih mudah jika saya ceritakan bahawa saya tidak pernah  terniat langsung akan menjadi guru di sekolah. Kerjaya sebagai guru, apatah lagi guru sekolah rendah, merupakan kerjaya yang paling saya mahu elak.

Namun, selepas terlibat dengan kajian Teknik Nabi Muhammad, dalam bidang hadith psikologi, maka saya 'terpaksa' terjun dalam dunia pendidikan. Sementelah pula, saya memiliki isteri yang bergiat aktif dalam menulis testimonial dan membuat eksperimen dalam Teknik Nabi Muhammad, maka sedikit sebanyak saya terkena tempiasnya.

MULA MENJADI GURU

Saya melangkahkan kaki ke sekolah sebagai guru bermula pada 15 Julai 2013. Waktu itu, saya agak kesempitan wang, dan memerlukan kerja. Hampir setahun saya 'bertanam anggur' tanpa penghasilan yang baik. Dua hari sebelum itu, isteri saya menelefon pihak sekolah tempat beliau mengajar dahulu. Kata guru besar, ada kerja kosong.

Tiba-tiba pada hari Isnin, saya disuruh melaporkan diri sebagai guru ganti berikutan ada guru yang bertukar sekolah. Seminggu Ramadhan, dan saya sudah menjadi guru. Alhamdulillah.

GURU, USTAZ, CIKGU DAN...

Pengetahuan saya sebagai guru, hampir NIL. Tiada langsung. Saya tidak pernah memohon jawatan guru sementara dalam percutian belajar, sebagaimana ramai rakan saya dari Timur Tengah lakukan sewaktu bercuti. Saya tidak pernah cuba-cuba mengajar pelajar sekolah menengah. Tanya sahaja pelajar KISAS batch saya, menyampaikan tazkirah pun saya penakut!

Sebagai trainer juga, saya paksakan diri memberikan perkongsian. Mujur, pengalaman yang sedikit itu sebagai pengajar andragogi, dapat saya aplikasikan sebahagiannya dalam kelas di sekolah rendah, sebagai pengajar pedagogi. Sebenarnya, pedagogi dan andragogi sangat berbeza.

Pedagogi lebih kepada pengajaran untuk kanak-kanak, manakala andragogi lebih kepada pengajaran untuk orang dewasa. Perbezaan ini membantu saya menilai cara saya mengajar, dan menyesuaikannya dengan situasi di sekolah pula.

Apapun, tidak pernah saya impikan akan menjadi guru sekolah rendah!


KESAN APLIKASI TEKNIK NABI

Menggunakan teknik Nabi Muhammad dalam PdP membantu sedikit sebanyak untuk saya menghadapi pelajar saya. Teknik yang saya kerap gunakan adalah teknik pejam mata pada kesalahan puji kebaikan, teknik ganjaran sosial melalui mimik muka, teknik ganjaran sosial melalui sentuhan, belaian dan urutan. Teknik yang paling saya suka adalah teknik pujian melalui tulisan, selain teknik memberi markah dorongan. Kadangkala saya gunakan juga teknik memberikan ganjaran material melalui hadiah atau membelanja makanan untuk anak murid pada waktu rehat.

Antara kesan yang saya dapati selepas beberapa bulan menggunakan Teknik Nabi Muhammad,

1) Pelajar menjadi rapat dengan saya dan mudah memberikan kerjasama.

2) Hampir setiap kali mahu pulang, pelajar akan melambaikan tangan kepada saya, ataupun menjerit memanggil saya seolah-olah mahu memberitahu mereka mahu pulang.

3) Pelajar bukan kelas saya dan bukan saya ajari mengenali saya dan bergaul seolah-olah sudah rapat dengan saya.

4) Pelajar yang bukan kelas saya dan bukan saya ajari tiba-tiba bersalam dan mencium tangan dan memuji kebaikan saya.

5) Sesetengah pelajar lelaki agak manja dengan saya.

6) Pelajar ringan tulang menolong dan membantu saya membuat kerja-kerja semasa hari kantin, hari sukan, hari guru dan acara lain.

7) Pelajar ringan tulang membantu membasuh pinggan secara sukarela di kantin, walaupun pekerja kantin tidak menyuruh mereka.

8) Setiap kali hampir waktu kelas saya, beberapa orang pelajar kelas saya akan menunggu saya di luar kelas sebelumnya (kelas lain), dan membantu mengangkat barangan berupa beg dan buku-buku saya ke kelas. 

Saturday 2 May 2015

Dipuji Anak Murid Sempena Hari Guru

Pagi-pagi lagi terbaca mesej ini di FB Messenger.

Belum 16 Mei lagi sudah dapat wish. Terima kasih Aqil Boboy. Ustaz doakan Aqil jadi pemain bola sepak handalan dan pada masa yang sama, seorang hafiz al-Quran. Amin.

Hari ini kami di Universiti Malaysia Terengganu berbengkel bersama guru, ibu bapa dan pensyarah UMT. Pagi yang indah dan nyaman kerana angin laut sepoi-sepoi bertiup.

#Pada waktu ini, saya sudah pun berhenti mengajar di sekolah. Saya berkhidmat di NGO Briged Bakti Malaysia.

 Mesej daripada Aqil.

Thursday 14 November 2013

Tip Menulis Buku Laporan Kemajuan Murid



    Aktiviti |Sedang memasukkan markah dalam kad laporan kemajuan murid. Nampaknya ruangan ulasan terlalu sempit bagi guru-guru pengamal teknik nabi. Ada banyak ganjaran sosial dapat diselitkan dalam buku laporan, yang dapat berfungsi sebagai surat tidak rasmi kepada ibu bapa berkenaan anak. Kemungkinan fungsi ini akan hilang apabila sistem kad laporan menjadi elektronik robotik sepenuhnya. 

Surat ini bertahan bertahun-tahun kesannya berbanding pertemuan bersemuka ibubapa-guru-murid. Pada waktu itu, sebahagian ibubapa lebih berminat menjaga airmuka mereka di hadapan guru, berbanding menjaga maruah anak.

Tip menulis buku laporan kemajuan murid.

Selitkan Ganjaran Sosial dalam ulasan.

1. Doa. Contoh, "Kami para guru mendoakan kejayaan beliau pada masa akan datang."

2. Harapan. "Beliau belum lagi menunjukkan potensi beliau yang sebenar. Kami yakin, insya Allah jika didorong dengan cara yang betul, hasilnya akan mengejutkan semua pihak."

3. Kata pujian. "Tahniah kerana peratusan markah meningkat hampir sekali ganda berbanding keputusan lepas, meskipun peratusan pelajar-pelajar lain menurun. Cikgu percaya, kamu pasti akan mencapai keputusan cemerlang pada masa akan datang."

4. Nasihat + ayat tawaran. "Keputusan peperiksaan kamu meningkat lebih baik kali ini. Mahukah jika saya ajarkan cara meningkatkan kecemerlangan dengan drastik? Banyakkan membuat latih tubi soalan-soalan lepas dan buat nota menggunakan peta minda."

5. Puji sifat baik pelajar. "Pelajar ini berpotensi menjadi pelajar cemerlang kerana sifat beliau yang baik, ringan tulang dan suka membantu guru serta rakan-rakan. Allah pasti tidak akan mensia-siakan orang yang baik."

6. Nyatakan kelebihan, sertakan impak. "(Nama pelajar) mempunyai bakat dan minat dalam bidang pengajian agama khususnya al-Quran. Kami pasti insya Allah beliau akan menjadi guru atau pensyarah bidang agama yang disegani satu hari nanti.

Tiada niat lain menuliskan laporan sebegini. Hanya mengharapkan ia akan menjadi pembugar semangat sang anak dan ibu bapa supaya percaya potensi mereka. Suatu hari nanti selepas berjaya, mereka akan membelek semula buku laporan itu dan membaca semula kata-kata positif kita sebagai guru. Tentu pada saat itu, mereka akan mendoakan kita pula pada saat kita sangat memerlukan doa orang yang masih di atas bumi, sedang kita sudah di dalam bumi.....