Thursday 14 November 2013

Tip Menulis Buku Laporan Kemajuan Murid



    Aktiviti |Sedang memasukkan markah dalam kad laporan kemajuan murid. Nampaknya ruangan ulasan terlalu sempit bagi guru-guru pengamal teknik nabi. Ada banyak ganjaran sosial dapat diselitkan dalam buku laporan, yang dapat berfungsi sebagai surat tidak rasmi kepada ibu bapa berkenaan anak. Kemungkinan fungsi ini akan hilang apabila sistem kad laporan menjadi elektronik robotik sepenuhnya. 

Surat ini bertahan bertahun-tahun kesannya berbanding pertemuan bersemuka ibubapa-guru-murid. Pada waktu itu, sebahagian ibubapa lebih berminat menjaga airmuka mereka di hadapan guru, berbanding menjaga maruah anak.

Tip menulis buku laporan kemajuan murid.

Selitkan Ganjaran Sosial dalam ulasan.

1. Doa. Contoh, "Kami para guru mendoakan kejayaan beliau pada masa akan datang."

2. Harapan. "Beliau belum lagi menunjukkan potensi beliau yang sebenar. Kami yakin, insya Allah jika didorong dengan cara yang betul, hasilnya akan mengejutkan semua pihak."

3. Kata pujian. "Tahniah kerana peratusan markah meningkat hampir sekali ganda berbanding keputusan lepas, meskipun peratusan pelajar-pelajar lain menurun. Cikgu percaya, kamu pasti akan mencapai keputusan cemerlang pada masa akan datang."

4. Nasihat + ayat tawaran. "Keputusan peperiksaan kamu meningkat lebih baik kali ini. Mahukah jika saya ajarkan cara meningkatkan kecemerlangan dengan drastik? Banyakkan membuat latih tubi soalan-soalan lepas dan buat nota menggunakan peta minda."

5. Puji sifat baik pelajar. "Pelajar ini berpotensi menjadi pelajar cemerlang kerana sifat beliau yang baik, ringan tulang dan suka membantu guru serta rakan-rakan. Allah pasti tidak akan mensia-siakan orang yang baik."

6. Nyatakan kelebihan, sertakan impak. "(Nama pelajar) mempunyai bakat dan minat dalam bidang pengajian agama khususnya al-Quran. Kami pasti insya Allah beliau akan menjadi guru atau pensyarah bidang agama yang disegani satu hari nanti.

Tiada niat lain menuliskan laporan sebegini. Hanya mengharapkan ia akan menjadi pembugar semangat sang anak dan ibu bapa supaya percaya potensi mereka. Suatu hari nanti selepas berjaya, mereka akan membelek semula buku laporan itu dan membaca semula kata-kata positif kita sebagai guru. Tentu pada saat itu, mereka akan mendoakan kita pula pada saat kita sangat memerlukan doa orang yang masih di atas bumi, sedang kita sudah di dalam bumi.....

Saturday 3 August 2013

Makna Nasihat yang Lebih Tepat

Makna Nasihat yang Lebih Tepat

Makna Nasihat yang lebih tepat |

Kita selalu terbaca hadith di bawah,
عَنْ أَبِي رُقَيّة تَمِيمٍ بنْ أَوس الدَّارِيِّ، أن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” الدِّينُ النَّصِيحَةُ “. قُلنا: لِمَنْ ؟ قَالَ: ” لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ.
Dari Abi Ruqayyah, Tamim bin Aus ad Daariy, ra. Nabi Muhammad SAW berkata : Agama adalah nasihat, kami bertanya : “Bagi siapa?” Rasulullah menjawab : Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi Rasul-Nya, bagi para pemimpin kaum Muslimin dan kaum muslimin secara umumnya.” (Laporan oleh Imam Muslim)
Dalam hadith ini, perkataan 'An-Nasihah' selalunya diterjemahkan sebagai nasihat dalam bahasa Melayu, sebagaimana yang difahami oleh masyarakat awam. Sebenarnya, makna yang lebih tepat ialah 'kejujuran, hati bersih, ikhlas'. Terjemahan kepada nasihat dalam erti kata amar makruf nahi mungkar semata-mata, menjadikan maknanya sempit. Lagipun, siapakah yang dapat menasihati Allah dan Rasul?
Dalam Teknik Nabi Muhammad, kajian Tim Hadith Psikologi mendapati, Nabi memberikan nasihat dalam dua keadaan, iaitu apabila diminta, dan apabila diberikan keizinan.
Antara adab memberikan nasihat, iaitu dalam bab amar makruf nahi mungkar, adalah menyampaikannya secara tersembunyi. Barulah dinamakan nasihah. Sekiranya ia disampaikan secara terang-terangan, maka ia menjadi fadhihah (membongkar aib).
Sebab ia disampaikan secara terang-teranganlah, maka banyak dakwah ditolak dan disisihkan masyarakat. Pengecualian nasihat terang-terangan ini adalah bagi mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan.
Kata hukama', "Allah merahmati seseorang yang menghadiahkan aibku kepadaku." Dalam hal ini, memberitahu aib kepada seseorang dikatakan sebagai hadiah, apabila ia disampaikan dalam keadaan tertutup cantik dan kemas seperti hadiah.
~Dipetik dan diolah daripada buku Al-Hadith An-Nabawi As-Syarif, Syarah 37 Hadith oleh Dr Syaraf al-Qudhah.
#‎maknanasihat

Rujukan Video :Penjelasan Maulana Asri Yusoff berkenaan makna An-Nasihah.http://www.youtube.com/watch?v=lUfGE0-Z83M&feature=share

Tuesday 21 May 2013

Tip Mengajak Anak Murid Bersolat

Tip Mengajak Anak Murid Bersolat |
Diolah daripada tip mengajak suami solat :

Bismillah.
Ketika mahu mengajak anak-anak murid bersolat, contohnya semasa di sekolah, gunakan skrip kata-kata yang lembut dan suka mereka dengari daripada guru. Elakkan menggunakan kata-kata yang kasar, mengherdik, menyuruh-nyuruh, mengajar, memaksa dan seumpamanya.

Contoh Salah :
"Kamu sudah Darjah 6, kalau tidak solat, ustaz rotan kamu!" (ANCAMAN)

"Kalau kamu tak mahu solat, ustaz tidak benarkan kamu balik." (UGUTAN)

"Sudah berwuduk atau belum? Cepat ambil wuduk. Asyik bermain sahaja." (KRITIKAN)

"Solatlah cepat. Waktu solat sudah lama masuk. Waktu rehat pun sudah hampir habis. Nanti kamu kena masuk kelas pula. Kamu tahu tidak, solat itu adalah tiang agama? Apa nak jadi dengan kamu ini, sudah besar panjang pun masih terkial-kial nak ambil wuduk dengan betul dan solat dengan sempurna. Jadilah contoh kepada adik-adik Darjah bawah. Jangan asyik nak bermain sahaja. Solat cepat!" (BEBELAN)

Sebaliknya, gunakan skrip kata-kata yang menenangkan,

"Ustaz suka melihat pakaian kamu kemas, kamu tertib duduk menghadap kiblat untuk memulakan bersolat. Orang yang rajin bersolat, Allah pasti suka." (PUJIAN)

"Sesiapa yang bersolat, dia menghubungkan dirinya dengan Allah. Apabila dia hampir dengan Allah, apa sahaja yang dia minta, Allah akan mudah kabulkan." (MENERANGKAN INFO)

"Bagus-bagus belaka anak murid Ustazah. Sejuk hati ibu bapa kamu melihat kamu semua bersembahyang. Allah suka, ustaz ustazah suka, ibu bapa suka, seluruh penduduk langit pun suka!" (PUJIAN)

"Anak-anak, mari kita bersolat. Ayah bangga nanti semasa di akhirat, Allah tanya ini anak siapa ini yang suka bersolat, tentulah anak ayah." (DORONGAN)

"Cikgu tenang bersolat berimamkan kamu. Kamu sudah ada ciri-ciri menjadi imam yang disukai jemaah. Nanti boleh kamu menjadi Imam Muda taman perumahan kita ini." (PUJIAN)