Thursday 14 November 2013

Tip Menulis Buku Laporan Kemajuan Murid



    Aktiviti |Sedang memasukkan markah dalam kad laporan kemajuan murid. Nampaknya ruangan ulasan terlalu sempit bagi guru-guru pengamal teknik nabi. Ada banyak ganjaran sosial dapat diselitkan dalam buku laporan, yang dapat berfungsi sebagai surat tidak rasmi kepada ibu bapa berkenaan anak. Kemungkinan fungsi ini akan hilang apabila sistem kad laporan menjadi elektronik robotik sepenuhnya. 

Surat ini bertahan bertahun-tahun kesannya berbanding pertemuan bersemuka ibubapa-guru-murid. Pada waktu itu, sebahagian ibubapa lebih berminat menjaga airmuka mereka di hadapan guru, berbanding menjaga maruah anak.

Tip menulis buku laporan kemajuan murid.

Selitkan Ganjaran Sosial dalam ulasan.

1. Doa. Contoh, "Kami para guru mendoakan kejayaan beliau pada masa akan datang."

2. Harapan. "Beliau belum lagi menunjukkan potensi beliau yang sebenar. Kami yakin, insya Allah jika didorong dengan cara yang betul, hasilnya akan mengejutkan semua pihak."

3. Kata pujian. "Tahniah kerana peratusan markah meningkat hampir sekali ganda berbanding keputusan lepas, meskipun peratusan pelajar-pelajar lain menurun. Cikgu percaya, kamu pasti akan mencapai keputusan cemerlang pada masa akan datang."

4. Nasihat + ayat tawaran. "Keputusan peperiksaan kamu meningkat lebih baik kali ini. Mahukah jika saya ajarkan cara meningkatkan kecemerlangan dengan drastik? Banyakkan membuat latih tubi soalan-soalan lepas dan buat nota menggunakan peta minda."

5. Puji sifat baik pelajar. "Pelajar ini berpotensi menjadi pelajar cemerlang kerana sifat beliau yang baik, ringan tulang dan suka membantu guru serta rakan-rakan. Allah pasti tidak akan mensia-siakan orang yang baik."

6. Nyatakan kelebihan, sertakan impak. "(Nama pelajar) mempunyai bakat dan minat dalam bidang pengajian agama khususnya al-Quran. Kami pasti insya Allah beliau akan menjadi guru atau pensyarah bidang agama yang disegani satu hari nanti.

Tiada niat lain menuliskan laporan sebegini. Hanya mengharapkan ia akan menjadi pembugar semangat sang anak dan ibu bapa supaya percaya potensi mereka. Suatu hari nanti selepas berjaya, mereka akan membelek semula buku laporan itu dan membaca semula kata-kata positif kita sebagai guru. Tentu pada saat itu, mereka akan mendoakan kita pula pada saat kita sangat memerlukan doa orang yang masih di atas bumi, sedang kita sudah di dalam bumi.....

No comments:

Post a Comment